Pada masa kini, terdapat ramai remaja terdedah kepada kes-kes jenayah seperti jenayah siber, gengsterisme, vandalisme, jenayah buli, mat rempit, pecah rumah, rogol, dadah, seks bebas dan kes ragut. Hal ini amat membimbangkan segenap lapisan masyarakat.

blank

Gengsterisme


    Saban hari, kes gengsterisme semakin meningkat dan kebanyakan gengster terdiri daripada remaja. Hal ini amat membimbangkan segenap lapisan masyarakat. Bah kata pepatah, “ pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. ” Jika masalah gengsterisme dibiarkan berterusan, keadaan ini akan menggugat kesejahteraan sosial dan membantutkan pembangunan negara kelak. Sebenarnya, gengster juga dikenali sebagai kongsi gelap. Kongsi gelap didefinisikan sebagai perkumpulan sulit dalam sesuatu kegiatan untuk kegiatan jenayah. Antara aktiviti gengsterisme adalah seperti peras ugut, ponteng sekolah, sentiasa melepak, merokok dan lain-lain lagi. Terdapat banyak faktor yang menyebabkan masalah gengsterisme. Tahukah anda bahawa masalah ini mendatangkan kesan negatif kepada kita? Bagaimanakah kita dapat mengatasi masalah ini?
 
          Faktor perdana yang menimbulkan masalah ini adalah kegagalan ibu bapa memberikan bimbingan dan perhatian kepada anak-anak. Kini, ibu bapa sibuk mencari nafkah untuk menampung kehidupan yang semakin mendesak. Oleh itu, mereka kurang meluangkan masa untuk menyelami isi hati anak-anak. Selain itu, sebahagian ibu bapa pada masa sekarang rakus mengejar kemewahan dan kebendaan semata-mata untuk memenuhi naluri mereka sehingga mengabaikan anak-anak. Mereka sering menjadikan kesibukan sebagai alasan. Mereka kurang berkomunikasi dengan anak-anak dan menyerahkan tugas menjaga anak bulat-bulat kepada pembantu rumah. Akibat ketandusan kasih sayang daripada ibu bapa, remaja mudah bergaul dengan kumpulan gengster yang mengheret mereka ke lembah jenayah. Dengan itu, mereka menjadi gengster supaya dapat menarik perhatian ibu bapa mereka.


             Faktor seterusnya adalah pengaruh rakan sebaya. Remaja biasanya menghabiskan kebanyakan masa di sekolah untuk kurikulum dan kokurikulum. Dengan perkataan lain, masa pergaulan remaja dengan kawan-kawan adalah lebih banyak berbanding dengan masa yang diluangkan bersama ibu bapa, terutamanya ibu bapa yang sibuk bekerja. Pada peringkat remaja, pengaruh rakan sebaya amat kuat dan menebal di jiwa mereka. Remaja akan lebih menurut kata-kata atau ajakan rakan-rakan untuk mencuba sesuatu yang baharu. Keadaan ini secara tidak langsung menyebabkan remaja mudah terjerumus ke dalam kumpulan gengster. Demi diri diterima dan dihargai oleh rakan mereka, mereka tidak teragak-agak bertindak sebagaimana yang dikehendaki oleh rakan-rakan. Keadaan ini bukan sahaja menyebabkan remaja terjerumus dalam gengsterisme bahkan juga mendorong mereka melakukan jenayah seperti membunuh, menagih dadah, merompak dan sebagainya.
          
           Tambahan pula, pengaruh media massa juga menyumbang dalam masalah gengsterisme. Pengaruh media massa biasanya meninggalkan kesan yang mendalam dalam sanubari remaja. Pada zaman ini, remaja mudah terdedah kepada filem-filem dan aksi-aksi yang tidak bermoral dan ganas. Mereka akan melayari laman web seperti “you tube” untuk menonton filem-filem dan aksi-aksi yang ganas. Secara tidak langsung, pemikiran dan perlakuan remaja akan dipengaruhi oleh apa yang mereka lihat dan tonton di dalam ‘you tube’. Mereka biasanya mempunyai naluri yang kuat untuk mencuba. Akhirnya, mereka akan mempraktikkan apa yang mereka lihat di dalam ‘you tube’ terhadap orang lain. Mereka akan memeras ugut atau memukul pelajar lain untuk menunjukkan kehebatan mereka agar semua pelajar takut akan mereka.

            Antara kesan negatif gengsterisme adalah pelajaran remaja akan terabai. Hal ini demikian kerana minat mereka untuk belajar sudah tiada dalam diri mereka. Mereka lebih berminat melibatkan diri dalam aktiviti gengsterisme berbanding mengulang kaji pelajaran. Bagi mereka, membaca buku amat membosankan. Dengan ini, mereka lebih suka bergaduh berbanding membaca buku. Keadaan ini menyebabkan pelajaran mereka terjejas. Apabila pelajaran mereka terjejas, mereka mungkin akan menghadapi kegagalan dalam peperiksaan dan turut menjejaskan masa hadapan mereka.

             Di samping itu, pelajar lain akan mengalami gangguan psikologi. Hal ini kerana mereka takut akan ahli gengsterisme. Pelajar lain yang menjadi mangsa tidak berani untuk memberitahu kepada keluarga dan pihak sekolah kerana telah diugut oleh ahli gengster. Saban hari, setiap kali ke sekolah, perasaan takut menyelubungi mereka. Lama-kelamaan mereka berasa takut untuk ke sekolah. Pelajar tersebut akan ponteng sekolah untuk mengelakkan diri daripada diugut atau dipukul lagi. Keadaan ini bukan sahaja meningkatkan masalah disiplin pelajar malah juga melemahkan sistem pengajaran dan pembelajaran di sekolah.  

           Bagi mengelakkan masalah gengsterisme daripada semakin berleluasa, langkah-langkah yang berkesan harus dilaksanakan dengan segera. Kasih sayang daripada keluarga, terutamanya ibu bapa merupakan ubat mujarab dalam penyelesaian masalah ini. Anak umpama sehelai kain putih, ibu bapalah yang bertanggungjawab mencorakkannya. Oleh hal yang demikian, ibu bapa mestilah meluangkan masa mereka untuk mengambil berat tentang segala aktiviti yang dilakukan oleh anak-anak di sekolah dan di luar sekolah. Ibu bapa patut melibatkan diri dengan Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) untuk mengetahui pencapaian atau prestasi anak-anak mereka di sekolah. Ibu bapa juga haruslah menjadi pendengar setia dan selalu bermusyawarah bersama-sama anak mereka untuk mencari jalan penyelesaian masalah yang dihadapi oleh anak.

           Selain itu, ibu bapa perlu mengenali dan mengetahui dengan siapa anak-anak mereka bergaul. Tidak salah jika ibu bapa mengajak rakan-rakan anak mereka ke rumah untuk lebih mengenali rakan anak mereka. Jika mereka tidak sesuai untuk menjadi kawan kepada anak-anak, ibu bapa perlulah menasihati anak-anak agar menjauhi kawan-kawan tersebut. Hal ini bukan sahaja dapat mengurangkan penglibatan remaja dalam jenayah gengsterisme tetapi membantu mengukuhkan institusi keluarga mereka. Remaja perlulah sentiasa diingatkan supaya tidak memilih kawan sesuka hati. Remaja harus menilai mana yang baik dan mana yang buruk untuk diikuti dan dielakkan.

           Langkah seterusnya adalah penguatkuasaan peraturan sekolah. Pihak sekolah perlu menguatkuasakan peraturan sekolah dengan mengambil tindakan yang setimpal terhadap kesalahan dan masalah disiplin yang dilakukan oleh pelajar. Bagi mereka yang terlibat dengan gengsterisme, pihak sekolah perlu mengenakan tindakan tatatertib terhadap mereka seperti memberi surat amaran, hukuman rotan dan gantung persekolahan. Walaubagaimanapun, pelajar yang didapati mencederakan pelajar-pelajar lain pula haruslah ditukarkan ke sekolah juvana.

           Sebenarnya, gejala gengsterisme sangat mencabar kesabaran dan kecekalan pihak pengurusan sekolah. Oleh itu, mereka yang terlibat dengan jenayah gengsterisme ini perlu dikaunseling dan dimotivasikan agar wujud kesedaran dalam diri mereka tentang bahayanya gengsterisme terhadap diri mereka. Apabila timbulnya kesedaran dalam diri mereka, secara tidak langsung mereka akan menjauhkan diri daripada gengsterisme. Minat mereka untuk terus belajar juga akan semakin menebal dalam diri mereka melalui proses motivasi dan kaunseling. Tambahan pula, keyakinan diri juga akan dipertingkat dalam proses pembelajaran dan diperkuatkan lagi dengan pencapaian akademik yang memuaskan mahupun baik. Dengan ini, masa hadapan mereka akan terjamin.

          Justeru, semua pihak berkenaan haruslah berganding bahu dalam mengatasi masalah gengsterisme. Sebagaimana yang kita tahu bahawa remaja merupakan generasi yang akan memimpin negara, jikalau hal ini tidak dibendung dengan segera, kemungkinan besar Wawasan 2020 akan menjadi angan-angan mat jenin dengan labunya.

1 ulasan:

dilylc berkata...

salam.. saya ada assignment berkaitan gangsterisme. boleh saya tahu awak ambil maklumat pasal gangsterisme ni dari mana (sumber)?

Catat Ulasan