Pada masa kini, terdapat ramai remaja terdedah kepada kes-kes jenayah seperti jenayah siber, gengsterisme, vandalisme, jenayah buli, mat rempit, pecah rumah, rogol, dadah, seks bebas dan kes ragut. Hal ini amat membimbangkan segenap lapisan masyarakat.

blank

Mat Rempit


Isu Mat Rempit bukanlah sesuatu yang baru tetapi sering diperkata-katakan oleh masyarakat.Mereka yang terlibat dalam gejala sosial ini merupakan remaja yang akan menerajui pembangunan negara pada masa akan datang.Wajarlah kita untuk membendunginya dan menyelamatkan remaja-remaja ini daripada terus terjerumus dalam gejala sosial ini. Mengapakah mereka terlibat dalam gejala Mat Rempit ini? Apakah itu‘Mat Rempit’? Bagaimanakah untuk mengatasinya?
               Mat Rempit merupakan istilah kepada penunggang motosikal yang terlibat dalam perlumbaan haram, biasanya dengan menggunakan moto kapcai atau skuter.Minah Rempit pula merupakan seorang pelumba perempuan atau teman wanita Mat Rempit. Walaupun kebanyakan Mat Rempit sering berlumba, ada juga yang cuma menunggang dengan teknik dan aksi yang berbahaya di jalan raya.Mat Rempit biasanya berkumpulan dan akan berlumba di tengah-tengah kota pada malam hujung minggu.Mat Rempit juga telah dikaitkan dengan kegiatan gangster, rompak berkumpulan, pergaduhan, laku musnah, kecurian dan buli.Kebanyakan motosikal yang digunakan telah diubahsuai dan tidak menepati piawai.Malah ada juga Mat Rempit yang tidak mempunyai lesen sah, tidak membayar cukai jalan dan menaiki motosikal curi. Kini taman perumahan telah menjadi litar perlumbaan bagi Mat Rempit.Istilah Mat Rempit ini turut digunakan di Singapura dan Indonesia.

               Gejala Mat Rempit yang semakin berleluasa sudah pasti akan menimbulkan banyak masalah. Ini kerana rata-rata para Mat Rempit terdiri daripada golongan remaja yang masih di persekolahan, ini bermaksud mereka masih bergantung kepada kewangan daripada ibubapa mereka. Bagi menyertai lumba haram, mereka memerlukan wang yang banyak sebagai wang pertaruhan, pengubahsuaian dan membeli alat ganti motosikal, kos petrol dan sebagainya. Apabila terdesak, mereka akan mendapatkan duit dengan mencuri, meragut, pecah rumah dan memeras ugut. Hal ini akan menyebabkan ketenteraman dan keselamatan orang ramai tergugat. Selain itu, gejala Mat Rempit ini sudah pasti akan menjatuhkan imej negara kita. Orang lain akan memandang rendah terhadap kebolehan negara kita untuk mentadbir sesebuah negara kerana hal yang demikian tidak dapat diselesaikan dengan secepat mungkin demi keamanan dan kesejahteraan rakyat.
               Keruntuhan rumah tangga yang berlaku pada masa kini berkait rapat dengan kejadian gejala sosial ini. Mengikut kajian kebanyakan remaja yang terlibat dalam gejala Mat Rempit ini berasal daripada keluarga yang bermasalah. Pada hakikatnya keluarga merupakan tempat bagi remaja untuk dijadikan rujukan, mengadu dan berkongsi masalah, mendapatkan kasih sayang dan sebagainnya.Tetapi dengan keluarga yang huru-hara sebegini bagaimanakah remaja ini dapat memenuhi kehendak mereka. Perasaan anak-anak mereka sering terganggu disebabkan keluarga mereka. Contohnya, ibubapa sering bergaduh antara satu sama lain di rumah menyebabkan mereka berasa kecewa dan hampa terhadap keluarga ini. Bagi mengelakkan diri daripada masalah keluarga ini, mereka selalu lepak di luar bersama-sama rakan rakan sebaya mereka sehingga lewat malam. Di sinilah mereka didedahkan dengan gejala-gejala tidak sihat ini yang dibawa oleh rakan sebayanya dan seterusnya melibatkan diri mereka dalam gejala sosial ini.
              Selain itu, kurangnya perhatian ibubapa juga dikaitkan dengan gejala mat rempit ini. Sikap ibubapa yang sibuk mengejar kekayaan demi meningkatkan kehidupan mereka telah menyebabkan mereka mengabaikan tanggungjawab mereka sebagai ibubapa untuk mendidik anak-anak mereka. Mereka tidak mengambil berat tentang keselamatan anak mereka dan membiarkan anak mereka menunggang motosikal tanpa lesen. Para remaja ini tidak tahu maksud bahaya tersebut di jalan raya. Meraka ini akan berayau-rayau dengan motosikal mereka dan kemungkinan besar melibatkan diri dalam perlumbaan haram. Mat Rempit juga diibaratkan sebagai kutu rayau yang suka merayau dan mengganggu ketenteraman pada waktu malam. Di samping itu, sesetengah ibubapa yang terlalu liberal terhadap sosial dan tidak pernah menegur tingkah laku anak mereka sudah tentu memburukkan keadaan.
              Isu Mat Rempit yang berleluasa juga disebabkan oleh kelongggaran penguatkuasaan undang-undang. Contohnya, usaha polis mengadakan sekatan jalan raya seolah-olah diperlekehkan oleh golongan Mat Rempit. Mereka merasakan sekatan jalan raya itu adalah satu cabaran yang menyeronokan. Mereka akan berpatah balik melawan arus jika ada sekatan polis dan ada juga yang terus merempuh kearah sekatan jalan raya. Selain itu mereka ini tidak jemu untuk masuk ke lokap apabila ditangkap kerana mereka berupaya membayar kompaun dan saman yang dikeluarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Mereka ini akan terus memberanikan diri untuk memperjudikan nyawa mereka di atas jalan raya semata-mata untuk keseronokan, kepuasan dan ganjaran yang ditawarkan. Ganjaran yang ditawarkan ini termasuklah wang, gadis bohsia dan sebagainya.Mereka merasakan diri mereka amat bergaya dengan aksi-aksi yang berbahaya seperti ‘willy’, ‘scorpian’, ’corner’ dan ‘wilkang’ yang membahayakan diri dan pengguna jalan raya yang lain.
              Memang tidak dinafikan bahawa pengaruh media massa merupakan salah satu punca kepada masalah Mat Rempit yang semakin berleluasa pada masa kini.Pengaruh budaya luar yang diserap ke dalam media masa telah meracuni fikiran para remaja ini. Perbuatan tidak bermoral seperti penagihan dadah, seks bebas, pengambilan alkohol dan sebagainya jelas meniru budaya ‘hell-angel’ dari Amerika Syarikat. Selain itu, filem- filem yang mengandungi unsur-unsur perlumbaan juga terus mempengaruhi minda remaja. Contohnya filem-filem seperti ‘Tokyo Drift’, ‘Fast And The Furious’, ‘Initial D’ dan ‘Kuala Lumpur Menjerit’ telah mendorong para remaja untuk mempelajari aksi-aksi pelakon yang dianggap bergaya. Golongan Mat Rempit yang dipengaruhi oleh media massa pula ghairah mengubahsuaikan motosikal mereka untuk mencapai tahap kelajuan yang maksimum seperti yang ditunjukkan dalam filem sehingga mengabaikan ciri-ciri keselamatan.
             Bagi membendung masalah Mat Rempit daripada berleluasa, langkah-langkah inisiatif harus dilakukan dengan segera. Sikap ibubapa yang prihatin adalah amat diperlukan dalam mengatasi masalah ini. Ibubapa haruslah menyedari bahawa kasih sayang dan perhatian secukupnya adalah amat diperlukan oleh remaja pada masa ini. Luangkanlah sedikit masa untuk bersama-sama anak mereka untuk menanya masalah mereka, mendengar luahan dan rintihan hati mereka. Dengan ini mereka berasa tidak disisihkan daripada kelurga mereka dan dapat merasai kemesraan keluarga. Ibubapa juga haruslah menjadi teladan yang baik terhadap anak-anak mereka supaya amalan-amalan bermoral dapat dicontohi oleh anak-anak mereka. Melalui didikan moral, mereka dapat membezakan baik dan buruknya sesuatu perkara.
             Penguatkuasaan undang-undang yang lebih ketat dan sistematik haruslah dilakukan dalam menangani gejala Mat Rempit ini. Pihak polis haruslah tidak berkompromi dengan golongan ini serta mengelakkan daripada amalan pengambilan rasuah semasa mengambil tindakan terhadap mereka. Selain itu, langkah-langkah seperti menggantung atau menarik lesen memandu Mat Rempit, menyaman pemilik motosikal, menahan motosikal yang diubahsuai, mengadakan operasi pada malam minggu di kawasan tumpuan Mat Rempit dan rondaan polis trafik dengan lebih kerap mungkin dapat mengurangkan masalah Mat Rempit tersebut. Secara tidak langsung, langkah-langkah ini akan memberi isyarat yang nyata bahawa kerajaaan tidak akan teragak-agak dan bertoleransi lagi untuk mengambil langkah drastik bagi menangani masalah ini. Hukuman yang lebih berat juga harus dikenakan terhadap para Mat Rempit. Menurut Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Malaysia(MCPF)Tan Sri Lam Thye mencadangkan Akta Pengangkutan Jalan dipinda bagi membendung gejala Mat Rempit dan perlumbaan motosikal haram. Pelajar berumur 15 hingga 19 tahun merupakan pelajar yang kandas dalam pelajaran atau berhenti sekolah, perlu ditahan di sekolah juvana, Sekolah Henry Gurney jika didapati bersalah untuk satu tempoh ditetapkan. Mereka ini dihukum membuat kerja-kerja amal sehingga100 jam dan motosikal dirampas.
               Media massa juga perlu bekerjasama menangani gejala Mat Rempit. Propaganda haruslah selalu dipaparkan oleh media agar semua masyarakat dalam semua peringkat memandang gejala Mat Rempit sebagai perlakuan yang tidak patut dilakukan dan para Mat Rempit Ini dianggap sebagai samseng jalanan atau lebih teruk lagi sebagai sampah masyarakat. Propaganda ini dapat membantu menangani masalah tersebut kerana perkara yang diberulang kali dipaparkan kelak akan menjadi perkara yang tersemat dalam minda. Iklan-iklan minyak pelincir atau minyak petrol yang ditayangkan dan dipaparkan haruslah jauh dari bentuk yang negatif seperti pemanduan secara laju. Pihak pengiklanan haruslah mencari alternatif lain bagi meningkatkan publisiti dan tidak perlulah mengambil idea negatif untuk diserapkan ke dalam iklan.
              Kesimpulannya, peranan yang dimainkan oleh ibubapa adalah amat penting untuk menjayakan sebarang usaha menangani masalah tersebut. Pendek kata, semua pihak haruslah berganding bahu dalam menangani masalah ini. Hal ini kerana Mat Rempit ini terdiri daripada golongan remaja yang mempunyai masa depan yang cerah jika dibimbing dan dididik dengan baik. Dengan usaha yang berterusan daripada semua pihak, sudah pasti deruman enjin motosikal dan aksi gila Mat Rempit tidak akan kedengaran lagi pada suatu hari nanti.


Keratan Surat Khabar Online

Timur: Belukar Bukit litar mat rempit
Oleh Baharom Bakar
bhkt@bharian.com.my
2010/08/18
Ketenangan kawasan perkelahan dicemari deruman enjin motosikal

KUALA BERANG: Selepas menyedari kegiatan lumba motosikal haram di beberapa jalan utama sekitar Bandar Raya Kuala Terengganu sudah dihidu pihak berkuasa, kumpulan mat rempit beralih arah ke kawasan perkelahan Belukar Bukit, di sini, sebagai litar untuk melepaskan gian berlumba.

Selain tidak menghiraukan kenderaan pengunjung dan penduduk, beberapa anggota kumpulan berkenaan melakukan protes dengan membesarkan minyak menyebabkan deruan kuat enjin motosikal apabila kegiatan mereka ditegur. Kumpulan itu menjadikan jalan yang lurus sejauh kira-kira dua kilometer berhampiran simpang masuk ke kawasan perkelahan Belukar Bukit sebagai litar perlumbaan dengan mempamerkan pelbagai aksi termasuk meniarap di atas motosikal ketika berlumba.
Selain bersaing menggunakan motosikal berkuasa tinggi, kumpulan itu juga menaiki motosikal kapchai untuk berlumba, dipercayai untuk meraih hadiah tertentu.

Penduduk kampung yang bimbang keselamatan selepas beberapa anggota kumpulan itu melakukan aksi protes dengan membesarkan deruman enjin motosikal, kini mendiamkan diri dan sekadar menjadi pemerhati kelakuan mat rempit.

Untuk meminta bantuan polis, mereka tidak dapat melakukannya kerana tiada telefon awam manakala liputan telefon bimbit tidak sampai ke kampung mereka.

Bukan saja kepada penduduk kampung, beberapa ahli kumpulan itu bertindak biadab dan menyergah wartawan Edisi Timur yang merakamkan aksi mereka di kawasan itu.
Penduduk kampung yang enggan namanya disiarkan berkata, kumpulan mat rempit berkenaan mula berlumba motosikal secara haram mulai jam 5 petang hingga 7 petang setiap Jumaat dan Sabtu.

Kita pernah menasihatkan ahli kumpulan itu supaya tidak berlumba di kawasan berkenaan, tetapi nasihat dan larangan bukan saja tidak diendahkan, malah kita pula yang dimarahi.

Kumpulan mat rempit itu melakukan pelbagai aksi hingga sangat menakutkan pengunjung terutama mereka yang bukan dari negeri ini dan tidak biasa melihat kelibat mat rempit yang sebegini ramai, katanya yang mendesak pihak berkuasa terutama polis mengadakan operasi khas seperti dilakukan di Kuala Terengganu bagi membanteras kegiatan berkenaan daripada terus berleluasa.

Seorang suri rumah dikenali sebagai Hanim dan berniaga di kawasan perkelahan itu, berkata kumpulan mat rempit itu menjadikan jalan di kawasan perkelahan itu sebagai lokasi memanaskan badan sebelum berlumba di jalan utama di kampung berkenaan tanpa menghiraukan pengunjung yang datang dari seluruh pelosok tanah air, termasuk pelancong asing.

Sebelum berlumba, katanya, kumpulan disertai antara 30 hingga 70 buah motosikal itu akan menjadikan kawasan tempat letak kereta di kawasan perkelahan itu sebagai tempat menguji enjin motosikal.

Sementara itu, Pegawai Turus Polis Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu, Asisten Superintendan Ismail Man ketika dihubungi berkata, rondaan serta tindakan ke atas kumpulan mat rempit di kawasan perkelahan Belukar Bukit sering diadakan pasukan polis trafik daerah Hulu Terengganu.

Katanya, jalan utama sejauh kira-kira dua kilometer berhampiran simpang ke kawasan perkelahan Belukar Bukit menjadi sasaran utama polis trafik daerah Hulu Terengganu membuat sekatan jalan raya kerana sering dijadikan litar perlumbaan oleh kumpulan berkenaan.

Kita akan tingkatkan usaha untuk mengadakan operasi lebih kerap di jalan berkenaan terutama pada setiap cuti hujung minggu iaitu Jumaat dan Sabtu, katanya.

33 samseng jalanan kena tolak motosikal
Oleh Nurhayati Abllah
bminggu@bharian.com.my
2010/05/02

SEBAHAGIAN daripada penunggang motosikal yang ditahan menolak motosikal masing-masing dalam operasi mencegah samseng jalan raya di sekitar bandar raya Ipoh, awal pagi semalam.
Kumpulan lelaki turut diarah nyanyi Negaraku beramai-ramai

IPOH: Seramai 33 samseng jalanan dikerah menolak motosikal masing-masing sejauh kira-kira tujuh kilometer ke Cawangan Penguasa Trafik Kontinjen Perak di Sungai Senam, di sini sebaik ditahan dalam operasi mencegah lumba haram sekitar bandar raya ini, awal pagi semalam.
Kumpulan lelaki berusia lingkungan 15 hingga 30 tahun itu turut diminta berdiri di pekarangan balai polis untuk menyanyikan lagu Negaraku sebagai simbolik menyatakan kekesalan mereka kerana melanggar undang-undang jalan raya.
Mereka juga diarah menjalani ujian air kencing bagi mengesan penyalahgunaan dadah selepas diberkas dalam operasi antara jam 3 hingga 5 pagi itu yang dilakukan sepasukan pegawai dan anggota dari Cawangan Trafik negeri diketuai Asisten Superintendan Abdul Malek Abu Bakar.

Gerakkan itu menyaksikan anggota polis yang menyamar bersembunyi di beberapa lokasi termasuk di tepi jalan sekitar bandar raya ini selepas menerima maklumat awam mengenai kegiatan tidak berfaedah oleh kumpulan lelaki terbabit.

Ketua Jabatan Ketentera man Awam dan Trafik Ipoh, Superintendan Wan Abdullah Ishak, berkata sesetengah anggotanya berlagak sebagai penunggang motosikal untuk mengenal pasti lokasi kumpulan samseng jalanan terbabit berkumpul.

“Selepas beberapa jam intipan, anggota kami berjaya mengesan sekumpulan penunggang motosikal menunggang secara berbahaya sebelum mereka ditahan dalam sekatan jalan di Jalan Sultan Azlan Shah berdekatan Pasir Puteh.
“Hasil pemeriksaan, 33 penunggang dan pembonceng ditahan untuk pemeriksaan lanjut atas pelbagai kesalahan, termasuk tidak memiliki lesen memandu,” katanya.
Wan Abdullah berkata, dalam operasi sama, polis turut menyita tujuh motosikal dan mengeluarkan 47 saman atas pelbagai kesalahan.

“Polis turut meminta semua samseng jalanan yang ditahan menyanyikan lagu Negaraku beramai-ramai di pekarangan balai polis bagi menyuntik semangat kenegaraan selain motivasi untuk menimbulkan kesedaran dalam diri mereka kerana melanggar undang-undang negara,” katanya.

“Setiap operasi yang dijalankan polis bukan bertujuan mencari kesalahan pengguna jalan raya terutama di kalangan mat rempit, tetapi menyedarkan mereka mengenai bahaya berlumba secara haram, sekali gus mengekang kes jenayah jalanan yang sinonim dengan kumpulan terbabit,” katanya

Polis cedera kena rempuh mat rempit
Oleh Nor Hatina Shuib
bhnews@bharian.com.my
2010/06/28

NOOR AZAM (dua dari kiri) melawat Abd Wahid yang dirawat di HTAR, Klang, semalam.
Penunggang motosikal langgar sekatan jalan

SHAH ALAM: Seorang anggota polis berpangkat Sarjan mengalami kecederaan dalaman teruk selepas dirempuh sebuah motosikal ditunggang mat rempit ketika menjalankan operasi lumba haram di Bulatan Setia Jasa berhampiran Masjid Negeri, di sini, awal pagi semalam.
Abd Wahid Dikon, 42, bertugas di Cawangan Trafik di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Noor Azam Jamaludin, berkata kejadian berlaku pada jam 2.15 pagi ketika Abd Wahid bersama 11 anggota lain dan seorang pegawai menjalankan operasi di sekitar bulatan berkenaan.

Ketika bertugas, katanya, seorang penunggang bersama pembonceng menunggang sebuah motosikal tiba-tiba muncul dengan laju dan melanggar sekatan polis sebelum merempuh Abd Wahid.

“Akibat rempuhan itu, Abd Wahid rebah dan tidak sedarkan diri sebelum dikejarkan ke HTAR. Beliau baru sedarkan diri tetapi masih belum dapat mengingati kejadian,” katanya ketika ditemui di HTAR, di sini.

Penunggang lelaki berumur 25 tahun dan 23 tahun bekerja di sebuah kilang di Shah Alam itu kini ditahan reman empat hari sehingga Rabu ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 307 iaitu cubaan membunuh dan Seksyen 42, memandu secara berbahaya hingga menyebabkan kecederaan parah.
Sementara itu, isteri Abd Wahid, Rozita Rejab, 39, ketika ditemui di HTAR berkata, beberapa petanda tidak baik mengiringi pemergian suaminya ketika hendak keluar rumah kira-kira jam 12 tengah malam kelmarin apabila anak bongsunya berusia tujuh bulan tidak berhenti menangis.

“Anak bongsu kami menangis dan saya juga tidak dapat melelapkan mata ketika suami mahu keluar bekerja. Saya tidak sangka ia petanda tidak baik yang akan berlaku ke atas suami saya.

“Setakat ini, keadaannya masih tidak stabil dan tidak banyak bercakap,” katanya.

“Beliau masih tidak dapat mengingati apa-apa,” katanya yang masih terkejut dengan kemalangan menimpa Abd Wahid dan berharap suaminya cepat sembuh.

Beliau berkata, ia kejadian pertama membabitkan suaminya yang sudah 20 tahun bertugas sebagai polis.

Rozita dan Abd Wahid mempunyai tujuh anak berusia antara 17 hingga tujuh bulan.

0 ulasan:

Catat Ulasan